Saturday, February 28, 2009

IBU MITHALI


Paparan saya, Tafsiran anda...

For those yang bergelar ibu dan anak yg masih mempunyai ibu..Kasih dan sayang ibu sentiasa berkekalan…



PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Mithali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.'

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."


Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"


"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Mithali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

"Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka."

"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!"

"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka."


"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya."

"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."

"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka."

Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.

"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. "


"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."

"Mirah!" Ibu merangkul saya. " Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."

"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain."

"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak."

"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."

"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."

"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."

"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu."

"Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru." "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "

"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur."

"Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.

"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. .."

"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.


Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

"Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"

"Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?"

"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "

"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.

"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "

"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.

"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.


Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. "

"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya."

"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah."

"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?"

"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya."

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang lain.

"Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah."

"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula.

"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu Mithali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Mithali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan."

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Mithali" sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir itu.

Renung-renungkan dan Selamat beramal...

By : http://isuhagat1.blogspot.com

Thursday, February 26, 2009

Sedingin Cinta Ibrahim


(Kisah ini kutujukan khas buat isteri ku yg tercinta semoga tabah dalam meniti hari-hari yg mendatang, pergorbananmu tanpa jemu sentiasa tersemat dihatiku. Percayalah suamimu ini akan sentiasa bersamamu, aku cinta aku rindu........)


Cinta seperti hujan yang berkunjung renyai-renyai dalam kebun hidupnya. Sungguh wajah Ibrahim seperti awan rendah yang meneduhkan. Dia suka memandang wajah itu, setiap hari dan saban malam. Tak pernah jemu, kerana wajah itulah yang tak putus-putus menghantar kedinginan dan keredupan, hujan cinta yang renyai-renyai. Wajah itu adalah cinta tak berbelah bahaginya.

Dia tidak punya harta yang banyak, juga pendidikannya hanya cukup sekadar membolehkan dia membaca dan mengaji dengan fasih. Dia lahir tidak sempat mengingat wajah abah dan umi. Bahkan dia tidak mengenali mereka, hanya beberapa orang penjaga dan teman-teman segelanggang di rumah kebajikan anak-anak yatim. Harta yang dia ada, cumalah cinta yang menyala-nyala itu. Cinta kepada Tuhan yang Maha Pengasih, cinta kepada rasul yang mengasihi, juga cinta kepada kekasihnya, Ibrahim. Suami yang tercinta, yang mengajar dia mengenal makna cinta itu, berlapis-lapis, dan dalam sekali.

“Keimanan itu bukan sekadar ikrar dengan lisan dan bukti melalui perbuatan, tetapi juga hati yang yakin dan mencintai,” pesan Ibrahim.

Dia cintakan suara itu. Tiap malam sesudah Maghrib Ibrahim bersila di hadapannya. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih. Bauan harum yang dipakai suaminya semerbak sekali membuatkan dia jadi tenteram dan bahagia. Lalu mereka sama-sama menekuni kitab Allah dengan khusyuk dan kerendahan. Helaian demi helaian. Ibrahim mengajarnya pelbagai perkara, tentang langit dan bumi, tentang kelahiran dan kematian, tentang manusia dan hati. Juga tentang kisah para nabi dan rasul yang sangat gemar didengarinya. Dia ralit mendengar kisah Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah berkali-kali, berulang-ulang. Seperti seorang kanak-kanak, dia akan duduk diam di hadapan Ibrahim dengan senyuman manja sambil mendengar setiap satu kata yang diucapkan Ibrahim. Kadang-kala diulangnya suara Ibrahim, sehingga suaminya turut tersenyum. Alangkah, cintanya menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan.

“Sekarang baru kau tahu, Ibrahim. Bersungguh-sungguh sangat hendakkan dia. Sekarang lihatlah, kau sudah tidak ada generasi untuk menyambung keturunan kau. Ini semua salah anak yatim tu.”

“Ya Allah. Jangan cakap begitu Kak Senah. Siapa sangka, mungkin saya sendiri yang kurang upaya. Rezeki itu di tangan tuhan. Diberi dan diambil atas iradat-Nya.”

Ibrahim mengajarnya tentang keyakinan itu. Penyerahan dan kesabaran itu adalah kecintaan yang gagah, yang tulus buat Tuhan.

Dia cintakan Ibrahim, juga Ibrahim sangat mencintai. Itu yang dibisikkan Ibrahim tiap-tiap pagi ketika dahinya dikucup sebelum Ibrahim berangkat ke tempat kerjanya. Seperti dituangkan air yang dingin, dia merasai kasih sayang Ibrahim mengalir ke seluruh tubuhnya, seluruh hati dan jiwa raganya. Lalu tumbuh sepohon yang rendang, di situlah dia tumpang bernaung dari kepanasan dunia yang semakin melemaskan. Alangkah tulusnya.

Ibrahimlah yang membawa dia ke dunia yang serba cukup ini. Dia tidak mahu rumah mewah, atau kereta besar, atau barangan kemas yang membukit kerana dia sedar itu semua bukanlah rezeki selayak untuknya. Dia hanya mahu merasai nikmat kasih sayang, memiliki keluarga dan insan untuk dicurahkan isi jiwa wanitanya. Terlalu lama dia kekontangan itu semua, ibu bapanya meninggal sejak dia kecil lagi. Rumahnya hangus dalam kebakaran besar-besaran di kampung, menelan seluruh cinta yang ada. Kakak sulungnya turut terkorban. Tinggal dia sendirian yang tuhan panjangkan nyawa. “Bersyukurlah kepada-Nya atas nikmat usia ini. Ajal dan maut ditentukan sejak azali lagi. Begitu jugalah kita dijodohkan hari ini, atas kasih Tuhan,” pesan Ibrahim dengan penuh cinta.

Rindunya hanya kepada suaminya, tumpah melimpah-limpah. Itulah amanah yang ditetapkan oleh Tuhan buatnya.

“Tak mungkin salah kau pula, kau tu lelaki Ibrahim. Kau perasan tak, sejak dia masuk ‘operate’ dulu, kau dengan dia dah tidak menjadi? Mesti ada masalah dengan dia. Dia sudah tidak subur lagi tu.”

“Itulah silapnya Kak Senah, orang Melayu ni. Asalkan tak ada rezeki saja, disalahkan orang perempuan. Apa-apapun dituduhnya orang perempuan. Kak Senah tahu, dari kajian perubatan, masalah ini 40 peratus berpunca dari pihak lelaki, 40 peratus dari yang perempuan. Selebihnya, berpunca dari kedua-dua pihak. Paling utama, itu semuakan aturan tuhan?” Ibrahim hanya tersenyum melayan kerenah kakak tunggalnya itu.

“Lagipun Kak Senah, operation yang dijalani isteri saya tu, tak sepatutnya menjejaskan kesuburannya itu. Dia masih berupaya melahirkan seperti seperti sebelumnya.” Kak Senah hanya mencebik masam.

Kadang-kala dia juga mengenang sendirian, layakkah dia untuk menelan segenap cinta yang Ibrahim curahkan itu. Dia bukanlah jodoh yang terbaik buat Ibrahim. Ibrahim seorang pakar perubatan kanak-kanak, paediatrician, juga lepasan luar negara. Berpendidikan tinggi, berkelulusan tinggi, juga punya maruah dan martabat yang tinggi.

Dia bukanlah segagah Sarah, wanita yang terbaik buat menggalas cinta Ibrahim.

Malam itu perjalanan takdirnya telah dibuka oleh tuhan seluas-luasnya. “Ini ujian tuhan buat kita yang lemah,” pesan Ibrahim sentiasa.

Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang dia kehendaki. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa (Asy Syuura: 49-50)”

“Ibrahim, isteri kau mengalami ectopic pregnancy di tiub Fallopio kanannya. Dia sudah mengalami rupture dan pendarahan serius selama beberapa jam yang lepas, salpingectomy harus disegerakan!”


Ibrahim hanya akur. Dia sebagai salah seorang pakar perubatan yang penuh pengalaman sangat mengerti akan situasi yang dihadapkan padanya detik itu. Pendarahan akibat ectopic pregnancy terlalu besar kemungkinan untuk meragut nyawa isterinya. Bila-bila masa sahaja! Wajah isterinya yang pucat ditenung dengan senyuman yang kelat. Sebelum disorong ke bilik bedah, Ibrahim sempat mengucup dahi isterinya- ada doa di dalamnya dingin meresap jauh ke nubari isterinya.

Mujur saja sebenarnya Ibrahim seorang doktor yang cekap. Beberapa jam sebelum itu, isterinya telah disyaki menghidap appendicytis setelah mengadu sakit-sakit di kanan perutnya, bahkan hampir saja dihantar ke Operation Theatre untuk dijalankan appendectomy. Tetapi Ibrahim mencegah, aduan isterinya beberapa hari lalu tentang kitar haid yang sudah terganggu selama 6 minggu menyebabkan dia menangguhkan pembuangan appendix isterinya. Alangkah, tindakan Ibrahim itu sungguh berbaloi.

“Saya mahu dia diperiksa sekali lagi, dengan transvagial Ultrasound Scan! Saya rasa ini bukan appendycitis,” arah Ibrahim kepada doktor yang bertugas malam itu.

Ibrahim menanti, hatinya tawakal bahawa Tuhanlah pemilik segala cinta.

“(tetapi mereka tidak mahu makan), kerana itu Ibrahim merasa takut terhadap mereka. Mereka berkata: ‘Janganlah kamu takut’. Dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak). Kemudian isterinya datang memekik (tercengang) lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata: ‘Aku adalah seorang perempuan tua yang mandul’. Mereka berkaa: ‘Demikianlah Tuhanmu menfirmankan’ sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (Adz-Dzaariyat: 28-30)”

Terlalu lama mereka bersama dan dia sungguh-sungguh dapat membaca keresahan hati suaminya. Dialah yang mengubat sepi Ibrahim selama ini. Dan dia juga tahu, Ibrahim terlalu merindukan zuriat untuk menyambung legasi dan keturunannya. Ibrahim amat menghasratkan suara kanak-kanak dapat memeriahkan rumah mereka yang sederhana itu. Cahaya mata yang menjadi tanda dan anugerah buat cinta yang menyatukan mereka. Cinta yang menyala-nyala. Kerana naluri cintanya kepada kanak-kanak itu jugalah Ibrahim menjadi paeditrician.

Lalu dia sering menyalahkan dirinya. Kata-kata Kak Senah kadang-kadang menghantukkan jiwa wanitanya. Alangkah dia mahu jadi setabah Sarah, tidak pernah putus mendedikasikan ketaatan dan kekuatan buat Ibrahim terus berdiri. Saban malam dia memanjatkan seribu doa buat tuhan agar dipinjamkan sedikit jiwa wanita terpuji itu- agar dia menjadi seorang Sarah buat Ibrahim.

Dia mahu cintanya adalah cinta seorang Sarah buat Ibrahim.

“Cuba kita renungkan betapa kekuasaan tuhan yang menciptakan Adam. Juga kelahiran Isa yang tidak berbapa dari seorang wanita solehah bernama Maryam,” kata Ibrahim sambil bersila di hadapannya sesudah maghrib. Sederhana, berbaju melayu dan berkopiah putih.

“Jadi tidak mustahil juga Allah yang Maha Penyayang menganugerahkan zuriat kepada nabi Ibrahim dan isterinya Sarah, serta kepada nabi Zakaria dan isterinya, Ishba, walaupun mereka dalam usia yang sudah lanjut. Merekalah insan-insan yang diceritakan dalam Al Quran, yang telah tuhan uji dengan tanpa mendapat zuriat.”

“Tentu lama mereka terpaksa menanti sebelum kelahiran zuriat pertama itu, kan Abang?”

“Kesabaran dan keyakinanlah yang menggagahkan mereka. Kecintaan mereka kepada tuhan tidak akan pernah dilupakan oleh Pencipta Seluruh Alam, lantas kerana kekuatan mereka itu, Tuhan bukan sahaja menganugerahkan anak, tetapi zuriat yang bakal menjadi keturunan yang soleh dan mulia, termasuklah para rasul dan nabi. Moga-moga tuhan juga mengizinkan zuriat yang baik dan soleh buat kita,” ujar Ibrahim lagi sambil tersenyum. Senyuman itulah yang dia simpan saban hari, setiap malam untuk mengubat luka dan kecewanya.

Pernah juga suatu hari rakannya, yang juga rakan sekerja Ibrahim mencadangkan kaedah reproduktif alternatif kepada mereka. Dia sendiri sudah jenuh memujuk Ibrahim agar menerima kaedah persenyawaan in vitro (IVF) dan artificial insemination (AI). Kata rakannya, kaedah itu halal selagi menggunakan benih dari kedua-dua suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan yang sah. Tetapi Ibrahim terlalu tegas menolak.

Ibrahim tidak mahu mendapat zuriat dengan kaedah tersebut. Masih belum tiba masanya, kata suaminya.

Dia terlalu cintakan Ibrahim, namun hati wanitanya kadang kala bergetar juga. Dia bukannya Sarah, juga bukanlah Ishba yang gagah. Kekurangan dirinya itu selalu menakutkan tatkala dia melayan perasaannya yang sering resah. Dia bimbang jika cintanya yang satu ini dibawa pergi oleh Ibrahim, meninggalkan dia kembali seperti mana dia suatu ketika dahulu. Dia takut api cintanya yang menyala itu terpadam. Lalu dia beristikharah pada tuhan, memohon petunjuk dan kegagahan. Dengan seribu upaya, dan sejuta air mata dia membulatkan cintanya! Pengorbanan harus dibuat.

“Tidak! Janganlah cakap begitu lagi. Bersabar dan yakinlah, seperti yakinnya Sarah dan Ibrahim,“ suara suaminya mula keras.

“Tapi abang, Sarah juga merelakan suaminya mengahwini Hajar lantas berkat perkahwinan itu mereka dikurniakan Ismail oleh tuhan. Izinkan saya menjadi Sarah buat abang. Saya tak sanggup lagi melihat hasrat yang telah lama abang simpan itu jadi angan-angan kerana kekurangan saya ini.”

“Rezeki dan jodoh kita telah ditentukan. Ketika tuhan menyelamatkan kamu sewaktu mengalami pendarahan di dalam rahim kerana ectopic pregnancy dulu merupakan rezeki yang tak terhingga untuk abang. Sehingga kini abang tak terbalas cinta Tuhan kepada kita. Itu sudah memadai.” Sungguh-sungguh senyuman Ibrahim itu selalu saja membuatkan dia kelu. Dia tewas.

Namun dia tidak pernah putus asa. Kadang kala dia meminta pertolongan Kak Senah untuk meyakinkan Ibrahim yang tegas itu. Tiada masalah bagi Kak Senah. Kak Senah cukup suka jika Ibrahim berkahwin seorang lagi. Sebelum Ibrahim melamarnya, keluarga Ibrahim pernah menjodohkannya dengan anak gadis ketua kampungnya. Semestinya tindakan Ibrahim mengahwini dirinya, seorang gadis yatim yang sekadar berkerja sebagai pembantu di rumah kebajikan bukanlah sesuatu yang diharapkan oleh keluarga Ibrahim yang besar itu.

Usaha Kak Senah juga tidak mendapat hasil yang memuaskan, bahkan Ibrahim dengan tenang dan tersenyum memberikan pelbagai alasan. Tentang kerjayanya yang semakin sibuk, tentang gajinya yang tak seberapa, dan bermacam lagi. Masakan Ibrahim mampu untuk melayan dua orang isteri. Namun dalam hati dia tahu Ibrahim cuma berdalih, tidak disangka begitu kejap setia Ibrahim, sehinggakan dia acapkali menangis terharu. Begitu besar kasih yang dicurahkan Ibrahim demi membahagiakannya, namun dia tidak dapat memberikan Ibrahim sebarang zuriat meskipun sudah hampir 8 tahun mereka bersama. Alangkah hati wanitanya pecah.

“Bersyukurlah dengan rezeki yang tuhan perkenankan untuk kita. Anak-anak itu rezeki, tetapi usia juga rezeki, bahkan iman dan Islam yang tertanam di dada ini adalah rezeki tak terhingga buat kita.”

Lalu Ibrahim menceritakan pula kisah Nabi Ayub yang mulia, tentang tuhan yang menguji baginda dengan penyakit. Segala nikmat harta, ladang-ladang dan anak-anak ditarik tuhan lalu baginda bersabar tanpa kesal dan kesah.

“dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: ‘(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.’ Maka Kamipun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipatgandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah. (Al Anbiyaa: 83-84)”

Cintanya masih menyala-nyala; tidak membakar tetapi mendinginkan. Seperti Sarah dan Ibrahim, di antara mereka adalah keyakinan dan kesabaran. Ibrahim bukan sahaja suami, tetapi adalah guru dan cintanya.

Cinta tuhan, adalah cinta yang tak terjangkau. Dia sujud dengan sejuta penyerahan.

“Ibrahim! Isteri kau pitam tadi! Kami baru balik dari klinik.”

“Ha?! Kenapa Kak Senah? Apa dah jadi?” gagang telefon dipegang erat. Cemas tiba-tiba berleluasa.

“Tahniah Ibrahim!”

“Kenapa Kak Senah? Isteri saya macam mana?”

“Dia sihat. Ibrahim, mulai dari hari ni kau jangan biarkan dia buat kerja rumah berat-berat lagi! Dia kena banyakkan rehat. Alhamdulillah, rezeki kamu berdua telah diperkenankan tuhan setelah lama menanti, sudah 7 minggu dia mengandung,” Kak Senah mengusik sambil ketawa kecil.

Ibrahim terdiam, dalam senyum itu ada syukur yang tumbuh berkuntum-kuntum. Di dalam rahim isterinya kini semakin sejuk sesudah sekian lama, diisi dengan kasih sedingin cintanya Ibrahim.

Dan Kami telah memberikan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub, sebagai suatu anugerah (daripada Kami). Dan masing-masing Kami jadikan orang-orang yang soleh. (Al-Anbiyaa’ : 72)

Alangkah, Dia yang maha Menganugerah, pemilik segala Cinta, pemilik segala Rahsia.


By: www.iLuvislam.com

Tuesday, February 24, 2009

Aku Belum Bersedia…..YA ALLAH……



BACALAH UNTUK DIAMBIL IKHTIBAR DAN MUHASABAH DIRI

Seperti biasa, setelah pulang dari pejabat dan tiba di rumah, aku terus duduk berehat disofa sambil melepas penat. Sepertinya aku sangat malas untuk membersihkan diri dan menunaikan solat.

Sementara anak2 & isteri sedang berkumpul diruang tengah. Dalam keletihan tadi, aku disegarkan dengan adanya angin dingin sepoi2 yang menghembus tepat di muka ku. Selang beberapa lama seorang yang tak tampak mukanya berjubah putih dengan tongkat ditangannya tiba2 sudah berdiri di depan mata.

Aku sangat terkejut dengan kedatangannya yang tiba2 itu. Sebelum sempat bertanya.... . siapa dia.... tiba2 aku merasa dada ku sesak...sukar untuk bernafas.... namun aku berusaha untuk tetap menghirup udara seperti biasa. Yang aku rasakan waktu itu ada sesuatu yang berjalan pelan2 dari dadaku...... terus erjalan..... kekerongkongku.

sakittttttttt. ....... sakit rasanya.

Keluar airmataku menahan rasa sakitnya,...

Oh Tuhan apa yang telah berlaku pd diriku..... Dalam keadaan yang masih sukar bernafas tadi, benda tadi terus memaksa untuk keluar dari tubuhku... kkhh. ........ khhhh..... kerongkonganku berbunyi.

Sakit rasanya, amat teramat sakit..... Seolah tak mampu aku menahan benda tadi... Badanku gementar... peluh keringat meluncur deras.... mataku terbelalak.. ... air mataku seolah tak berhenti. Tangan & kakiku kejang2 sedetik setelah benda itu meninggalkan aku. Aku melihat benda tadi dibawa oleh lelaki misteri itu... pergi... berlalu begitu saja.... hilang dari pandangan.

Namun setelah itu......... aku merasa aku jauh lebih ringan, sehat, segar, cerah... tidak seperti biasanya. Aku heran... isteri & anak2 ku yang sedari tadi ada diruang tengah, tiba2 terkejut berhamburan ke arahku.. Di situ aku melihat ada seseorang yang terbujur kaku ada tepat di atas sofa yang kududuki tadi. Badannya dingin kulitnya membiru.

Siapa dia???????.. .Mengapa anak2 & isteriku memeluknya sambil menangis... mereka
menjerit...histeria . terlebih isteriku seolah tak mau melepaskan orang yang terbujur tadi... Siapa dia......... ..????????

Betapa terkejutnya aku ketika wajahnya dibalikkan. Dia......... dia........ dia
mirip dengan aku.... ada apa ini Tuhan...????????

Aku cuba menarik tangan isteriku tapi tak mampu..... Aku cuba pula untuk merangkul anak2 ku tapi tak berjaya. Aku cuba jelaskan kalau itu bukan aku. Aku cuba jelaskan kalau aku ada di sini.. Aku mulai berteriak... ..

Tapi mereka seolah tak mendengarkan aku. Seolah mereka tak melihatku...
Dan mereka terus-menerus menangis.... aku sedar.. aku sedar bahawa lelaki yang misteri tadi telah membawa rohku. Aku telah mati... aku telah mati.

Aku telah meninggalkan mereka .. tak kuasa aku menangis.... berteriak. ...... Aku tak kuat melihat mereka menangisi mayatku..

Aku sangat sedih.. selama hidupku belum banyak yang kulakukan untuk membahagiakan mereka. Belum banyak yang telah kulakukan untuk membimbing mereka. Tapi waktuku telah habis....... masaku telah terlewat.... aku sudah dikembalikan pada saat aku terduduk di sofa setelah penat seharian bekerja. Sungguh, bila aku tahu aku akan mati, aku akan membahagi waktu bila harus bekerja, beribadah, untuk keluarga
dll.

Aku menyesal aku terlambat menyedarinya. Aku mati dalam keadaan belum sholat.

Oh Tuhan, JIKA kau inginkan keadaanku masih hidup dan masih boleh membaca artikel ini sungguh aku amat sangat bahagia.Karena aku MASIH mempunyai waktu untuk bersimpuh, mengakui segala dosa & berbuat kebaikan sehingga bila maut menjemputku kelak aku telah berada pada keadaan yang lebih bersedia.

By: http://isuhagat1.blogspot.com

Tempayan nan Retak

Seorang tukang air memiliki dua tempayan besar, masing-masing
bergantung pada kedua hujung sebuah pikulan, yang dibawa menyilang pada
bahunya. Satu dari tempayan itu retak, sedangkan tempayan yang satunya lagi tidak. Jika tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari mata air ke rumah majikannya, tempayan itu
hanya dapat membawa air setengah penuh.

Selama dua tahun, hal ini terjadi setiap hari. Si tukang air hanya dapat
membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu
saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya, kerana
dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Namun si tempayan retak
yang malang itu merasa malu sekali akan ketidaksempurnaanny a dan merasa sedih sebab ia hanya dapat memberikan setengah dari jumlah yang seharusnya dapat diberikannnya.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini,tempayan retak itu
berkata kepada si tukang air,

"Saya sungguh malu pada diri saya sendiri, dan saya ingin mohon maaf
kepadamu."

"Kenapa?" tanya si tukang air, "Kenapa kamu merasa malu?"

"Saya hanya mampu, selama dua tahun ini, membawa setengah jumlah
air dari yang seharusnya dapat saya bawa kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah
majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi." kata tempayan
itu.

Si tukang air merasa kasihan pada si tempayan retak, dan dalam belas
kasihannya, ia berkata,

"Jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memerhatikan
bunga-bunga indah di sepanjang jalan."

Benar, ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan
dan baru menyedari bahwa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan,
dan itu membuatnya sedikit terhibur. Namun pada akhir perjalanan, ia
kembali sedih kerana separuh air yang dibawanya telah bocor, dan kembali
tempayan retak itu meminta maaf pada si tukang air atas kegagalannya.

Si tukang air berkata kepada tempayan itu,
Apakah kamu memerhatikan adanya bunga-bunga di sepanjang jalan si
sisimu tapi tidak ada bunga di sepanjang jalan di sisi tempayan yang lain yang
tidak retak itu. Itu kerana aku selalu menyedari akan cacatmu dan aku
memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang
jalan disisimu, dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari mata air, kamu
mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini aku telah dapat memetik
bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu
sebagaimana kamu ada, majikan kita tak akan dapat menghias
Rumahnya seindah sekarang."

Setiap dari kita memiliki kecacatan dan kekurangan kita sendiri. Kita semua
adalah tempayan nan retak. Namun jika kita mahu, Allah akan menggunakan
kekurangan kita untuk menghiasi-Nya. Di mata Allah yang bijaksana, tidak
ada yang terbuang percuma begitu sahaja..hatta setitis air sekalipun..Oleh itu Janganlah kita takut akan kekurangan diri kita. Kenalilah kelemahan kita..Ketahuilah,sesungguhnya di dalam kelemahan, kita akan temui kekuatan kita.